Kenapa Pak Lan Disini? (Part 15)
Kembali Kepada Sistem Raja Berperlembagaan ( 2 )
Pendahuluan
Perkara pertama yang perlu kita selesaikan dahulu sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut lagi mengenai tajuk di atas adalah soal sistem politik yang seharusnya kita amalkan di negara ini. Kita kena jelas mengenai sistem mana yang sah untuk di amalkan dan sistem mana yang tidak sah untuk di amalkan di Negara ini berdasarkan kepada perlembagaan Negara.
Kita perlu ingat bahawa perlembagaan Negara adalah merupakan undang-undang yang tertinggi di Negara ini. Dan satu-satunya institusi yang berhak untuk memberikan tafsiran kepada perlembagaan Negara didalam Negara kita ini adalah Mahkamah Tinggi Persekutuan.
Jadi yang perlu kita selesaikan di sini dan perlu kita sepakati adalah soal sistem politik mana yang sah di gunakan dan di amalkan sebagai sistem politik negara kita. Sistem politik Raja Berperlembagaan atau sistem politik Demokrasi Berparlimen? Yang mana satu?
Hari ini, berdasarkan kepada realiti dan amalan semasa yang kita warisi semenjak merdeka adalah sistem Demokrasi Berparlimen. Hampir seluruh rakyat Malaysia percaya bahawa sistem politik di Negara ini adalah sistem politik Demokrasi Berparlimen.
Fahaman dan kepercayaan ini sudah sebati di kalangan rakyat Malaysia sehingga tidak ramai yang ingin dan bersedia untuk mempersoalkan kesahihannya. Persoalannya sekarang, betul kefahaman dan kepercayaan ini?
Kalau betul… Its okey! Tapi kalau salah bagaimana?
Kalau salah pula maka banyaklah persoalan yang akan timbul. Takkan kita nak berdiam diri. Takkan kita nak biarkan sahaja kekeliruan ini berterusan. Betul tak?
Isu yang kita nak bincangkan ini adalah satu isu besar. Ini soal paling asas dalam pembentukkan Negara kita. Asas yang menentukan hala tuju dan pembangunan negara. Kalau asasnya sahaja sudah rosak apatah lagi yang lain-lainnya. Ibarat sebuah bangunan, kalau asasnya kukuh maka kukuh jugalah bangunan tersebut.
Isu ini juga menyentuh soal ‘core value‘ atau nilai dasar rakyat Malaysia. Nilai dasar yang membentuk fahaman dan kepercayaan rakyat Malaysia selama ini.
Sebagai umat Islam, apabila kita bercakap soal kefahaman dan kepercayaan, ini menyentuh soal aqidah. Satu persoalan yang boleh menjadikan kita kufur kepada Allah SWT dan membuat kita terhumban ke dalam neraka jahanam. Hati-hati.
Terlebih dahulu perlu saya ingatkan, saya tidak berhasrat untuk membincangkan persoalan di atas secara ilmiah. Memadailah sekiranya ianya kita lakukan secara santai sahaja.
Saya sedia maklum, walaupun ini persoalan besar namun saya rasa kita tidak perlulah sampai pening-pening kepala membahaskan isu ini seperti di dewan kuliah. Kita bukan di universiti. Tetapi di alam maya. Kita berbicara sekadar untuk melepas rasa. Melepaskan segala yang terbuku di jiwa.
Namun demikian ini tidak bermakna bahawa kita akan mengambil sikap sambil lewa dalam membahaskan tajuk ini. Sikap santai kita tidaklah sehingga kita sanggup mengenepikan segala asas, nas, fakta dan logika yang menjadi sandaran dan landasan dalam membahaskan sesuatu perkara. Main hentam keromo sahaja. Apatah lagi yang menjadi premis perbahasan adalah perlembagaan Negara.
Lebih jauh dari itu, persoalan ini juga perlu di ingatkan sekali lagi, turut menyentuh soal aqidah kita sebagai umat Islam. Agama yang menjadi anutan majoriti penduduk di negara ini.
Oleh yang demikian, maka bolehlah kita simpulkan di sini bahawa persoalan ini adalah persoalan yang sangat besar. Bukan persoalan yang remeh temeh. Ini bukan sekadar persoalan yang akan menentukan nasib atau ‘survival‘ sesebuah negara bangsa. Tetapi juga menyentuh soal kehidupan kita di akhirat nanti. Ini persoalan AQIDAH. Persoalan untuk menentukan mana yang HAQ dan mana yang BATHIL.
Jadi, untuk membahaskan isu yang besar seperti ini sudah pasti ianya memerlukan huraian dan penjelasan yang panjang lebar. Di sertakan pula dengan dalil nakli dan akli yang kuat. Ini untuk memastikan agar kita semua tidak tersesat dalam mencari kebenaran.
Saya berharap para pembaca semua akan terus mengikuti siri ini dengan tekun dan sabar. Ini kerana menurut pandangan dan keyakinan saya,KEMBALI KEPADA SISTEM RAJA BERPERLEMBAGAAN bererti kita kembali kepada jalan yang benar. Jalan yang lurus, jalan yang di redhai oleh Allah SWT. Insyaallah.
Saya ingin memulakan perjalanan kita ini berlandaskan kepada Suratul Asr. Sebuah surah pendek tetapi mempunyai maksud yang sangat luas dan mendalam.Surah mengenai masa. Masa yang telah merakamkan segala-galanya. Menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah empayar.
Dengan masa jugalah kita akan menulis satu sejarah baru. Mengulangi kegemilangan silam. Mungkin lebih baik daripada apa yang pernah di saksikan dahulu. Sesungguhnya masa jugalah yang akan menjadi saksinya nanti.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.“
(Suratul Asr )
Berdasarkan nas di atas, Allah SWT telah bersumpah dengan masa bahawa sesungguhnya manusia itu sentiasa berada didalam kerugian melainkan empat golongan. Empat golongan ini sahajalah yang di jamin keberuntungannya di akhirat nanti. Di alam sanalah Allah SWT menyediakan syurga sebagai ganjaran buat mereka.
Ini yang perlu kita perhalusi terlebih dahulu. Agar kehidupan kita di atas muka bumi ini tidak menjadi sia-sia.Mengapa? Pertama, kerana kita tidak beriman. Jadi jelas, orang yang tidak beriman adalah orang yang sentiasa berada didalam kerugian.
Untuk tidak sentiasa berada di dalam kerugian, kita perlu beriman. Apa yang perlu kita imani? Dan bagaimana kita hendak jadi orang yang beriman?
Untuk memiliki iman yang sempurna kita perlu ada ilmu. Bukan sekadar ilmu tetapi juga mempunyai kefahaman dan pengertian yang mendalam terhadap ilmu yang kita miliki.
Jadi, jangan pandang remeh persoalan menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu wajib. Ianya satu kewajipan bukan satu pilihan. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim tanpa mengira lelaki atau perempuan untuk menuntut ilmu. Ini perintah Allah SWT yang di sampaikan melalui RasulNya Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Itu kewajipan yang utama sebagai seorang muslim.
Ilmu yang bagaimana yang harus kita miliki untuk menjadikan kita sebagai seorang yang beriman? Kerana tanpa ilmu mustahil bagi kita untuk memiliki iman yang sempurna. Tanpa ilmu dan iman yang sempurna kita tidak akan dapat mengenal yang mana amal soleh dan yang mana bukan amal soleh.Yang mana adat dan yang mana ibadat.
Dengan ilmu dan iman, adat boleh bertukar menjadi ibadat. Tanpa ilmu dan iman, ibadat pula boleh bertukar menjadi adat. Ibarat kita makan.Perbuatan makan itu sebenarnya adat.Satu kebiasaan.Satu kelaziman.Semua orang makan. Tapi kalau kita makan mengikut sunnah Rasul sebagaimana yang telah di ajar oleh Rasulullah SAW maka perbuatan yang sepatutnya hanya adat itu kini sudah menjadi satu ibadat.
Begitu juga halnya dengan sembahyang sebagai contoh. Perbuatan sembahyang itu satu ibadat. Tetapi kalau kita tidak mengenal siapa yang kita sembah dan tidak tahu apa sebenarnya yang kita persembahkan maka perbuatan itu hanya sia-sia. Ibadat sudah menjadi adat. Kita sembahyang kerana itu sudah menjadi satu kebiasaan, satu kelaziman buat kita.
Begitulah pentingnya ilmu dan iman buat seorang muslim.Hanya dengan ilmu dan iman sahaja yang akan menjadikan mereka seorang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Tanpa ilmu dan iman segala perbuatan dan pekerjaan menjadi sia-sia.
Tanpa ilmu dan iman juga kita tidak akan dapat membezakan yang mana haq dan yang mana bathil. Yang mana taat dan yang mana kafir.
Bukankah Allah SWT itu menjadikan segala jin dan segala manusia itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya?
Ingat! Pengabdian selain kepada Allah SWT adalah batal dan kufur.Segala perbuatan dan pekerjaan menjadi sia-sia. Maka di akhirat nanti neraka jahanamlah ganjarannya
Bayangkan kalau yang haq dan yang bathil sudah bercampur-baur. Sudah terlalu sukar untuk di bezakan. Bagaimana hendak kita berpesan-pesan dengan yang haq pula?
Untuk mengenal yang haq kita perlu ilmu dan iman apatah lagi untuk berpesan-pesan dan menyampaikannya. Sudah pasti perlu ilmu dan iman.Bukan sedikit cabaran yang bakal di tempuhi. Tanpa ilmu dan iman bagaimana cabaran-cabaran tersebut mampu di atasi?
Menyampaikan yang haq perlu kesabaran yang tinggi.Tanpa ilmu dan iman mana mungkin kita mampu menahan sabar. Tanpa ilmu dan iman mana mungkin kita memperoleh segala kekuatan yang di perlukan dalam perjuangan untuk menyebarkan yang haq.
Sekali lagi, jangan pandang remeh persoalan tentang kewajipan menuntut ilmu. Sia-sia melaksanakan kewajipan-kewajipan yang lain sebelum kewajipan menuntut ilmu itu kita tunaikan terlebih dahulu.
Dan, kalau sekiranya kita merasa yang kita ini sudah berilmu, ilmu yang bagaimanakah yang sudah kita miliki? Apakah ilmu yang sudah kita miliki itu sesuai menurut turutan atau aturan atau struktur disiplin ilmu yang sebagaimana yang di kehendakioleh Allah SWT?
Ilmu apakah yang sebenarnya yang wajib kita tuntut dahulu sebelum kita menuntut ilmu-ilmu yang lain? Inilah persoalan yang seharusnya kita renung dalam-dalam dan kita tanyakan kepada diri kita sendiri.
Bertanyalah kepada diri sendiri, apakah ilmu yang selama ini kita miliki itu sudah mampu untuk membawa kita kepada makam makrifat atau mengenal Allah SWT dalam erti kata kenal yang sebenar-benarnya.
Tanyalah pada diri kita sudah sejauh mana dan sedalam mana kita mengenal Allah SWT.
Jangan lupa… Tanpa mengenal siapa Allah segala yang kita persembahkan kepadaNya akan di tolak. Tidak di terima. Segala pekerjaan kita akan menjadi sia-sia.
Jadi sudahkah kita mengenal Allah? Kenal dalam erti kata yang sebenar.
Maksud saya begini, kita ambil contoh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Boleh di katakan hampir seluruh rakyat Malaysia mengenali Dato Seri Najib dan tahu bahawa beliau adalah merupakan Perdana Menteri Malaysia. Namun persoalan yang ingin kita bangkitkan di sini adalah untuk mengukur sejauh mana kenalnya rakyat Malaysia kepada Dato Seri Najib.
Soalnya sekarang…. Adakah kenalnya rakyat Malaysia kepada Dato Seri Najib itu sama sebagaimana kenalnya Datin seri Rosmah kepada Dato Seri Najib ?
Sudah tentu berbeza. Betul tak? Kita semua kenal Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia dan sedikit mengenai latar belakang beliau melalui apa yang kita baca dan kita dengar.
Ini berbeza dengan kenal Datin Seri Rosmah. Beliau mengenali Dato Seri Najib dengan cukup dekat dan mendalam. Bahkan beliau juga turut mempunyai hubungan yang sangat intim dan istimewa dengan Dato Seri Najib. Hubungan yang sangat istimewa sehingga hampir sudah tidak ada lagi rahsia di antara mereka berdua.
Inilah mengenal atau makrifat yang di maksudkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang terkandung di dalam Al-Quran.
“ Awwaluddin makrifatullah “ maksudnya, awal-awal agama adalah mengenal Allah.
Mengenal atau Makrifat kepada Allah inilah yang menjadi puncak kepada segala ilmu.Belum boleh dikatakan sempurna ilmu seseorang yang tidak makrifat kepada Allah SWT.
Dan, belum beragama seseorang yang tidak makrifat kepada Allah SWT.
Ilmu yang membawa kita kepada makrifat kepada Allah inilah yang wajib kita tuntut terlebih dahulu sebelum kita menuntut ilmu-ilmu yang lain.
Sebab itu dikatakan tidak beragama seseorang yang tidak mengenal Allah SWT. Mana mungkin kita hidup beragama sedangkan tuan yang punya agama pun kita tidak kenal. Bagaimana mungkin kita hendak beriman atau yakin kepada agama kalau tuan yang punya agama iaitu Allah SWT tidak kita imani dan yakini ?Apatah lagi hendak menyembah dan memujaNya pada setiap masa.Boleh ke sesuatu itu kita sembah dan kita puja tanpa kita mengenalNya ?
Sudah pasti tidak mungkin.Berhentilah dari syok sendiri dan perasan yang membuta tuli.Kita sebenarnya sedang membohongi diri kita sendiri.Alangkah sia-sianya hayat kita di dunia ini yang selama ini kita habiskan dengan melakukan pekerjaan yang sia-sia.Sia-sia kerana kita tidak memiliki ilmu hakiki dan beriman secara yang hakiki.
Pak Lan
Mohd Ramalan Yunus
Founder
World Islamic Chamber Of Commerce
Komen aku : Loor.. Hidup lagi Pak Lan ni..
Part 1 - Kenal Mamat Ni?
Part 2 - Tolonglah!
Part 3 - Melayu Tanpa Raja?
Part 4 - Banyaknya Buih?
Part 5 - Islam Bukan Agama Resmi Negara Ini Tapi Islam Adalah Agama Negara Ini?
Part 6 - Wajarkah Di Pertahankan Raja-Raja Melayu Kalau Raja Melayu Sendiri Malu Nak Jadi Raja
Part 7 - Masih Adakah Lagi Bangsa Melayu Kalau Pertubuhan Orang Melayu Sendiri Nak Jadi Satu Malaysia.
Part 8 - Anwar Dengan Najib : Antara Karektor Dengan Reputasi?
Part 9 - Mansuhkan Rukun Negara?
Part 10 - Tukar Pemimpin Atau Tukar Sistem
Part 12 - Berapa Banyak Darah Perlu Di Tumpahkan?
Part 13 - Sekapur Sireh
Part 14 - Kembali Kepada Sistem Raja Berperlembagaan (Part 1)
Part 15 - Kembali Kepada Sistem Raja Berperlembagaan (Part 2)
Part 16 - Nota kasih buat As-Syahid Mohd Hafiz Fahmy Mohd Zaki.
Part 17 - Nota PRU 13 : Kejayaan BN Kegagalan Najib.
Part 18 - Nota Pasca PRU 13 : The Non-violent Revolution Is Coming
Part 19 - Nota Pasca PRU 13 : Kejayaan BN Kegagalan Najib (2)
Part 20 - Nota Pasca PRU 13 : Tun Mahathir Dan UMNO-BN
No comments:
Post a Comment
Salam!
Semua komen akan ditapis.
1- Anonymous tak akan dilayan. Sila tinggalkan nama (nama samaran pun dah kira ok supaya senang nak sebut sekiranya ada perbincangan).
2- Tolong beri komen yang berkaitan dengan artikel di atas sahaja.
3- Komen merapu, Hit and Run akan diPADAM. Minta Maaf.